|
|
Apakah e-Dompet?
e-Dompet ialah satu kemudahan yang berfungsi seperti dompet sebenar untuk
ahli-ahli laman web ini. Dompet digital ini menyimpan wang anda supaya
anda boleh membayar ahli-ahli lain ataupun menerima bayaran daripada mereka. Kemudahan e-Dompet baru sahaja dimulakan pada 17 April 2006. |
Mengapa guna e-Dompet?
Sebab utama laman web ini menggunakan sistem e-Dompet ialah untuk menjalankan
tuisyen menerusi Internet. Hampir semua perkhidmatan tuisyen online di
laman web ini adalah percuma untuk pelajar kerana ia diberikan oleh sukarelawan.
Bagaimanapun, apabila sesuatu soalan tuisyen memerlukan penjelasan yang
panjang/rumit, sukarelawan enggan membantu. Dengan memberikan mereka satu
bayaran kecil sebagai ganjaran, pelajar boleh memperoleh jawapan-jawapan
yang cepat, tepat dan lengkap untuk semua jenis soalan tuisyen. Sistem
e-Dompet membolehkan pelajar-pelajar membuat bayaran-mikro sebegini (bayaran
sekecil 10 sen setiap soalan). |
Siapa boleh guna e-Dompet?
Untuk menggunakan e-Dompet, anda mestilah:
seorang ahli berdaftar dalam laman web ini. [daftar sekarang]
seorang penduduk/pemastautin di Malaysia.
seorang pelajar, guru sekolah, guru tuisyen, ataupun pengajar.
Anda TIDAK memerlukan kad kredit. Anda juga TIDAK memerlukan sebarang
perisian komputer khas. Setiap ahli boleh memiliki e-Dompetnya sendiri.
Dengan menggunakan e-Dompet anda, anda boleh membayar ahli-ahli lain dan
juga menerima bayaran daripada ahli-ahli lain. |
Bagaimana guna e-Dompet?
Untuk menerangkan cara penggunaan e-Dompet, kita gunakan satu contoh.
Ahli A ialah seorang pelajar di Malaysia.
Terlebih dahulu, Ahli A perlu memuat e-Dompetnya dengan wang. Dia
memuatkan e-Dompetnya dengan memindahkan RM300.00 ke laman web ini. [bagaimana
memuat e-Dompet]. e-Dompet Ahli A akan dikemaskinikan
supaya ia mengandungi RM300.00. Wang RM300.00 di dalam e-Dompetnya adalah
milik Ahli A dan dia boleh membelanjakannya di laman web ini ataupun
mengeluarkannya semula bila-bila masa yang dia hendak.
Katakan Ahli A sekarang menanyakan soalan tuisyen di laman web
ini. Dia menawarkan RM0.10 kepada sesiapa yang boleh menerangkan soalan
tersebut kepadanya. Wang RM0.10 ini akan dipindahkan secara automatik
daripada e-Dompetnya ke dalam e-Peti. e-Peti ialah satu peti simpanan
maya yang berfungsi sebagai peti keselamatan. e-Peti adalah milik laman
web ini kerana laman web ini ialah pihak-ketiga yang neutral dan boleh
dipercayai oleh semua ahli. Semasa urusniaga ini berlangsung,
wang RM0.10 ini akan dikunci sementara di dalam e-Peti.
Guru sekolah, guru tuisyen dan pengajar yang ingin menjawab soalan tersebut
kini boleh berusaha menyediakan jawapan masing-masing. Ahli-ahli ini tahu
bayaran RM0.10 yang ditawarkan oleh Ahli A adalah terjamin, kerana
wang tersebut telahpun terkunci di dalam e-Peti. Jika jawapan yang betul
diberikan, Ahli A tidak dapat mengambil balik wang RM0.10 itu.
Dengan cara ini, e-Peti melindungi mereka yang telah memberikan jawapan
daripada penipuan. Akhirnya, Ahli A akan memilih jawapan yang terbaik
daripada semua jawapan-jawapan yang telah diberikan kepadanya. Katakan
dia menerima jawapan yang diberikan oleh Ahli B sebagai jawapan
terbaik. e-Peti akan dibuka oleh Ahli A supaya wang RM0.10 itu
boleh dipindahkan ke dalam e-Dompet Ahli B. Keseluruhan urusniaga
ini akan dianggap berjaya.
Bagaimana pula jika tiada seorang pun yang menjawab soalan Ahli A?
Juga, bagaimana pula jika semua jawapan yang diberikan kepada Ahli
A adalah yang bukan-bukan/gurauan? Dalam keadaan-keadaan sebegini,
urusniaga ini akan dianggap gagal. e-Peti akan dibuka supaya
wang RM0.10 itu boleh dipulangkan ke dalam e-Dompet Ahli A. Dengan
cara ini, e-Peti melindungi Ahli A daripada penipuan.
Hampir setahun kemudian, katakan sekarang ialah cuti-akhir-tahun dan
Ahli A telahpun membelanjakan RM240.00 di laman web ini setakat
kini. Oleh itu, e-Dompetnya masih mengandungi RM60.00. Untuk berhibur
semasa cuti sekolah, dia ingin membeli satu permainan video dan dia memutuskan
untuk mengeluarkan RM50.00 daripada e-Dompetnya. Ahli A cuma perlu
klik pada satu butang untuk mengeluarkan wang tersebut daripada e-Dompetnya.
Satu cek atas namanya akan dipos ke alamat kediamannya. e-Dompetnya akan
dikemaskinikan supaya ia mengandungi RM10.00. Setelah menunaikan cek itu,
Ahli A akan boleh menggunakan wang tersebut untuk membeli permainan
video yang dikehendakinya. Pada masa yang sama, dia masih boleh menggunakan
baki RM10.00 di dalam e-Dompetnya seperti biasa! |
Apa lagi yang boleh dilakukan dengan e-Dompet?
Selain daripada menanya dan menjawab soalan tuisyen, e-Dompet anda juga
mempunyai kegunaan-kegunaan yang lain.
e-Dompet boleh digunakan untuk membeli produk-produk di PASAR ILMU, iaitu
suatu pasaran online untuk produk-produk pendidikan. Produk-produk ini
adalah sebenarnya maklumat akademik sahaja (bukan produk fizikal). Para
pembeli dan penjual di PASAR ILMU semuanya merupakan ahli-ahli laman web
ini. Sebagai contoh, katakan Ahli A hendak membeli Produk C.
Oleh sebab harga Produk C ialah RM1.00, wang tersebut akan ditolak
daripada e-Dompet Ahli A. Maka, e-Dompetnya akan dikemaskinikan
supaya ia mengandungi RM9.00 selepas membeli Produk C.
e-Dompet juga boleh digunakan untuk menjual produk-produk di PASAR ILMU.
Katakan Produk C yang dibeli Ahli A sebelum ini sebenarnya
telah dibekalkan oleh Ahli B untuk dijual di PASAR ILMU. Maka,
wang RM1.00 yang telah dibayar Ahli A akan dipindahkan ke dalam
e-Dompet Ahli B. Oleh sebab Ahli B telahpun mempunyai RM0.10,
e-Dompetnya akan dikemaskinikan supaya ia mengandungi RM1.10 sekarang.
Akhir sekali, anda juga boleh memindahkan wang secara terus dari e-Dompet
anda ke dalam e-Dompet ahli yang lain. Sebagai contoh, katakan Ahli
A ingin memberi Ahli B satu ganjaran tambahan kerana
Ahli B telah senantiasa membantunya dengan penuh dedikasi. Ahli
A seterusnya memindahkan RM5.00 secara terus dari e-Dompetnya ke dalam
e-Dompet Ahli B. Maka, e-Dompet Ahli A akan dikemaskinikan
kepada RM4.00 manakala e-Dompet Ahli B pula akan dikemaskinikan
kepada RM6.10. |
Adakah e-Dompet selamat untuk diguna?
e-Dompet adalah selamat untuk diguna kerana...
kad kredit tidak diperlukan, maka maklumat kad kredit anda tidak mungkin dicuri.
nama sebenar dan alamat anda tidak diketahui oleh ahli lain.
cuma pihak pentadbiran laman web ini mengetahui nama sebenar dan alamat anda.
semua urusniaga adalah dalam Ringgit Malaysia (RM). Tiada mata wang asing terlibat.
semua pengguna e-Dompet adalah penduduk Malaysia & dilindungi Undang-undang Malaysia.
penghantaran produk tidak diperlukan. Produk adalah berasaskan maklumat (bukan fizikal).
Apabila sesuatu produk dibeli, wang belian itu akan dipindahkan secara
elektronik dari e-Dompet pembeli ke dalam e-Dompet penjual. Jika berlaku
perbalahan di antara pembeli dangan penjual, ia akan ditimbang-tara oleh
pihak pentadbiran laman web ini. Jika urusniaga tersebut tidak
adil kepada pembeli, kami akan memulangkan wang pembelian dari e-Dompet
penjual kembali ke dalam e-Dompet pembeli. Maka, e-Dompet bukan sahaja selamat
untuk diguna, tetapi semua urusniaganya juga dilindungi menerusi proses
timbang-tara oleh pihak-ketiga yang neutral. |
Bagaimana mendapatkan e-Dompet?
Anda akan diberikan e-Dompet jika...
anda memuat wang ke dalam sistem ini buat kali pertama [bagaimana memuat e-Dompet]
atau, anda menerima wang daripada ahli lain yang mempunyai e-Dompet
atau, anda diperkenalkan oleh kawan yang mempunyai e-Dompet [diperkenalkan kawan]
Apabila anda mendapat e-Dompet, anda akan dikenakan bayaran RM5.00
sebagai Yuran Pentadbiran. Yuran ini akan dicaj sekali sahaja. Selepas
itu, e-Dompet anda akan berfungsi sepenuhnya. |
|
|